BANGI, Sabtu – Tujuh Ahli Parlimen mengambil bahagian bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri DUN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Antaranya Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Ahli Parlimen Rembau, bertanding di DUN Rantau di Negeri Sembilan atas tiket Barisan Nasional (BN).
Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bertanding di DUN Chennah yang disandangnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2013 berdepan Rosmadi Ari (PN-BERSATU).
Sementara itu, dua Menteri Besar dan Ketua Menteri memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen turut bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR yang juga Ahli Parlimen Gombak menghadapi pertandingan tiga penjuru mempertahankan kerusi Sungai Tua, dicabar Muhammad Hanif Jamaluddin (PN-PAS) dan Suman Gopal, calon bebas.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR) yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut bertanding berdepan saingan empat penjuru dicabar Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-BERSATU) dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu serta Mohammed Hafiz Baharudin.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (PH-DAP) yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dicabar H’ng Khoon Leng (PN-Gerakan), bagi mempertahankan kerusi Padang Kota yang dipegangnya selama tiga penggal sejak 2008.
Selain itu, Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bertanding mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih yang disandang sejak PRU12, dicabar Kong Cheng Ann (PN-Gerakan) dan Tee Yee Chew (Parti Sosialis Malaysia).
Ahli Parlimen Jelebu yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut bertanding mempertahankan kerusinya di DUN Pertang yang disandangnya sejak PRU-13, dicabar calon PN daripada PAS, Amirudin Hassan.