SEREMBAN, Ahad – Muafakat Nasional dan Proklamasi Orang Melayu Negeri Sembilan akan membuat laporan polis hari ini bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan rasuah yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard berkata, salah guna kuasa dan rasuah pilihan raya jelas dinormalisasikan oleh Anwar dan Zahid bagi pihak kerajaan secara terang-terangan tanpa berselindung.
“Proklamasi Negeri Sembilan dan Muafakat Nasional akan menggerakkan satu laporan polis kepada pihak berkuasa dalam hari ini dan esok untuk meminta pihak berkuasa bertindak terhadap rasuah salah guna kuasa seperti ini.
“Dan kita khuatir sebab Perdana Menteri kita bukan sahaja bekas banduan liwat, tetapi dia juga merupakan bekas banduan salah guna kuasa, yang mana dia pernah dipenjarakan kerana salah guna kuasa dan dia tak pernah rasa bersalah atas perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Dalam pada itu, Che’gu Bard turut memetik laporan media baru-baru ini berkaitan dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang menggunakan Jabatan Imigresen untuk mendaftar masuk hotel ketika kempen beliau di Langkawi.
Che’gu Bard mempersoalkan samada pihak polis mampu bergerak secara bebas untuk menjalankan siasatan tersebut kerana dianggap kuasa mereka seolah-olah dikawal oleh pihak kerajaan.
“Laporan polis kita akan buat di banyak tempat dan kita minta untuk semua para penggerak kita di peringkat parlimen, Muafakat Nasional dan Proklamasi untuk menggerakkan laporan polis tersebut.
“Cuma kita rasa, tak tahu pihak polis ini masih boleh bergerak bebas atau tidak sebab Menteri Dalam Negeri pun dilaporkan ‘check in’ hotel 15 bilik di Langkawi kempen pilihan raya menggunakan nama Kementerian Dalam Negeri, iaitu Jabatan Imigresen dan ini dilaporkan oleh media pagi ini,” katanya.
Jumaat lalu, Sanusi mendakwa Saifuddin menginap di sebuah hotel di Kuah, Langkawi dan dipercayai telah menempah 15 bilik bernilai RM3,505.
Beliau turut memuat naik invois pesanan tempahan yang memaparkan jenis bilik dan jumlah yang perlu dibayar.
Dalam perkembangan terkini, Saifuddin tampil menjelaskan, beliau berada di Langkawi atas urusan rasmi bagi mendengar taklimat daripada agensi keselamatan.
Tambahnya lagi, taklimat itu diberikan oleh Ketua Polis Daerah mengenai persiapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi bagi menguruskan hari penamaan calon.