BANGI, Ahad – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen dan jawatan Ketua Pesuruhjaya bukan lantikan atas nasihat Perdana Menteri.
Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan bahawa tiada unsur rasuah berkaitan pemberian itu.
“Kenyataan ini menimbulkan banyak persoalan. Sama ada betul atau salah kenyataan yang dikeluarkan tersebut, imej SPRM telah tercalar dan ada yang mempersoalkan adakah kenyataan itu bersifat bebas atau tidak.
“Umum tahu bahawa Januari tahun lalu, protes #TangkapAzamBaki dianjurkan oleh rakan-rakan yang kini berada dalam kerajaan, menuntut supaya proses undang-undang keatas Azam disegerakan diatas skandal saham dan kawalan syarikat konglomerat.
Amir dalam satu kenyataan turut mempersoal kenyataan dibuat Azam sama ada melibatkan keputusan sendiri atau wujudnya tekanan dari pihak lain.
Tambahnya, kenyataan yang menimbulkan banyak persoalan itu juga telah menjejaskan ketelusan SPRM.
Mengulas lanjut, parti dalam kerajaan yang menuntut proses undang-undang sebelum ini terhadap Azam yang terpalit dengan kontroversi skandal pemilikan saham seperti diam membisu sehingga melantik beliau mengetuai SPRM semula pada Mei tahun lalu.
Sebelum ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran negeri itu.
Ahmad Zahid berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan tersebut dalam PRN pada 12 Ogos ini.