BANGI, Ahad – Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya mempersoal tindakan Kerajaan Madani yang menggalakkan budaya rasuah menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini.
Jelasnya, tindakan kerajaan yang ‘cakap tak serupa bikin’ ini akan hanya menyebabkan rakyat bosan dan muak dengan penipuan yang dilontarkan oleh pemimpin dalam Kerajaan Madani.
“Saya terkejut dengan pengumuman TPM mengenai sumbangan yang diberikan kepada kelab motosikal Terengganu yang terang-terangan menyebut Pilihan Raya Negeri.
“Isunya bukanlah pada sumbangan itu sangat tetapi syarat yang dikenakan supaya memberikan undi mereka dalam Pilihanraya Negeri kali ini. Memang tiada lapik dan segan silu langsung.
“Apakah ini dibenarkan undang-undang? Apakah ini tidak dikatakan politik wang? Mana SPR?” ujarnya.
Aminuddin melalui satu kenyataan di Facebook berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menyampaikan sumbangan dan meminta belia di Terengganu untuk memilih arus merah biru bagi Pilihan Raya Negeri akan datang.
Beliau turut mempersoal keberadaan Suruhanjaya Pilihan Raya yang tidak memandang serius isu ini seolah-olah ia tidak melanggar undang-undang di Malaysia.
“Malah, beberapa hari lepas PMX juga ada buat pengumuman bantuan kewangan kepada penjawat awam dan belia. Selalunya bantuan sebegini diberi dalam pengumuman bajet tetapi kali ini masa PRN pula.”
Tambah Aminuddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melakukan perkara sama dimana beliau mengumumkan bantuan menjelang pilihan raya dan bukannya dalam pengumuman bajet negara.
“Saya risau kalau ada yang membuat laporan polis dan akhirnya PRN kali ini tidak sah macam berlaku di Kuala Terengganu. Apakah nanti akan ada PRN sekali lagi dan rakyat terpaksa mengundi sekali lagi bagi seluruh negeri yang terlibat?”
Beliau turut menzahirkan kebimbangan sekiranya laporan polis dibuat dan tindakan membatalkan PRN dijalankan seperti di Terengganu.
Beliau juga turut risau jika perkara ini akan terus dibiarkan sepi oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melihat pemberian kementerian melalui Ahmad Zahid bukanlah satu bentuk rasuah namun sekadar inisiatif dari pihak kerajaan.
Katanya, beliau mengambil kira pemberian itu adalah dari kementerian di peringkat Persekutuan.