BANGI, Ahad –Sentimen berkaitan agama, bangsa, dan raja (3R) dianggap sering dimanipulasi pihak kerajaan untuk menjatuhkan pembangkang.
Itu yang didakwa Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan, dengan menegaskan bahawa kerajaan sendiri yang banyak mengeluarkan kenyataan berbaur 3R dan membangkitkan kemarahan orang Melayu.
Beliau memberi contoh kenyataan Lim Guan Eng berkaitan ‘gelombang hijau’ yang akan memusnahkan tokong serta rumah ibadat golongan bukan Islam sekiranya parti itu memerintah.
Tegasnya, kenyataan-kenyataan sebegini menunjukkan wajah sebenar Kerajaan Madani yang mentadbir negara hari ini.
“Kita melihat realiti yang berlaku kerajaan terlalu banyak mempermainkan isu-isu dan sentimen sentimen melibatkan agama Islam. Kedua, isu bangsa, sama. Kerajaan yang mula membangkitkan kemarahan orang Melayu. Sedangkan apa yang berlaku di pihak pembangkang.
“Kita hanya sekadar menghimpunkan parti-parti politik Melayu, NGO-NGO Melayu untuk berbincang apa nasib politik negara. Tetapi yang dipandang oleh kerajaan ia bersifat rasis dan bersifat perkauman.
“Terlalu banyak kenyataan yang menyebabkan sentimen dan juga perkauman. Sebab kita tengok bagaimana Lim Guan Eng, Lim Kit Siang membangkitkan isu-isu gelombang hijau adalah suatu ancaman seolah-olah mereka ini Taliban robohkan tokong dan sebagainya. Orang tak boleh nak berjoget. Jadi sentimen-sentimen ini adalah wajah sebenar kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran video di akaun TikTok rasmi miliknya, Jumaat lalu.
Tambahnya, kesalahan 3R seolah-olah hanya tertakluk kepada pembangkang manakala mereka yang berada di pihak kerajaan boleh terlepas.
Pada 8 Julai lalu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng didakwa berkata ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun. Guan Eng dalam ciapan di Twitternya menyatakan ucapannya dalam bahasa Mandarin itu telah diputar belit oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebaliknya, beliau menjelaskan kenyataannya itu merujuk kepada kes sebuah kuil Hindu di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.