BANGI, Ahad – Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar menafikan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tidak tercalon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini berpunca daripada dirinya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menegaskan Nik Abduh sememangnya tidak disenaraikan dari awal untuk kerusi berkenaan.
“Itu fitnah apabila mengatakan saya yang menghalang, sedangkan beliau tidak terbabit dalam mesyuarat pimpinan parti selain tiada jawatan dalam parti.
“Saya tidak tahu dari mana sumber maklumat sedemikian termasuk menyentuh surat daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.
Mohd Amar yang juga calon DUN Panchor berkata, Nik Mohamad Abduh dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah menjelaskan perkara itu dan sepatutnya ia sudah selesai.
“Tuan Ibrahim sebelum ini sudah jawab Nik Mohamad Abduh tidak mahu bertanding dan beliau sendiri juga mengatakan tidak berhasrat dan tiada masalah tidak bertanding kerana mahu menguruskan sekolah agama.
“Jadi, kenapa orang lain yang perlu membuat tuduhan? Bagi saya perkara itu tidak betul,” ujarnya.
Bagi Mohd Amar, kejadian yang berlaku ini adalah perkara biasa menjelan PRN dan perlu dihadapi dengan tenang.
Namun, beliau yakin pengundi bijak dan mampu menilai calon yang dipertaruhkan.
Terdahulu tular video adik Allahyarham Tan Sri Nik Azizi iaitu Nik Din Nik Mat yang menggesa rakyat supaya tidak mengundi Timbalan Menteri Besar itu pada PRN kali ini.
Katanya menerusi video berdurasi 2 minit 33 saat itu, beliau telah bertemu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang turut memberi jaminan bahawa Nil Abduh akan dicalonkan dalam PRN kali ini.