BANGI, Ahad – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu yang secara terang-terangan menormalisasikan rasuah bercanggah dengan pendirian Kerajaan Madani yang konsisten memerangi rasuah dalam politik.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seolah-olah ‘menutup mata’ akan kenyataan Ahmad Zahid.
“Walaupun pelbagai pihak meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam pelbagai platform di media sosial atas ucapan tersebut, nampaknya SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Ia jauh berbeza dengan tindakan segera SPRM yang mengeluarkan kenyataan terhadap tindakan pihak pembangkang.”
Menerusi kenyataan di akaun Facebook rasminya hari ini, sehingga kini SPRM masih tidak mengeluarkan kenyataan atau mengambil tindakan terhadap Ahmad Zahid.
Jelas Tuan Ibrahim, sikap ‘pilih kasih’ SPRM itu menimbulkan tanda tanya memandangkan sekiranya pihak pembangkang yang membuat kenyataan itu pastinya SPRM akan mengenakan tindakan segera.
“Hal yang sama turut dirasai rakyat terhadap BERSIH.
“Suatu masa dahulu BERSIH begitu lantang memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil namun turut sepi apabila parti pemerintah melakukan kesalahan. Hal ini berbeza jika hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang,” ujarnya.
“BERSIH kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan diawal penubuhannya kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH.”
Tambah Tuan Ibrahim, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yang dulunya lantang menyuarakan ketidakadilan dalam pilihan raya kini semakin senyap dan gagal dalam tujuan penubuhan agensi itu.
Konsep yang sama turut terjadi apabila BERSIH hanya lantang sekiranya blok pembangkang membuat kesilapan dan sepi sekiranya kerajaan yang berbuat kesalahan demikian.
Jumaat lalu, Ahmad Zahid memaklumkan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.
Beliau berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan itu dalam PRN pada 12 Ogos ini.