BANGI, Ahad – Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Dr Mohd Soberi Awan dilaporkan meninggal dunia semasa sedang menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam.
Allahyarham yang juga merupa pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.55 pagi tadi.
Allahyarham, difahamkan mengadu sakit dada dalam kuliahnya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri beberapa minit selepas itu.
Jemaah yang hadir dalam kuliah tersebut kemudian mula mendekati Allahyarham untuk memberi bantuan.
Sementara itu, badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, Aman Palestin turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang juga Perunding Aman Palestin.
“Salam takziah diucapkan buat ahli keluarga Allahyarham dan kenalan atas kehilangan seorang insan yang banyak memberikan bakti dan jasa buat pembangunan masyarakat Malaysia khususnya dalam menyampaikan ilmu-ilmu mengenai Palestin, Syria dan Yaman.
“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Jenazah Allahyarham akan disolatkan selepas Maghrib di Surau Ittihadiyah sebelum dibawa ke Kemaman, Terengganu.