BANGI, Ahad – Kerajaan ketika ini didakwa cuba menormalisasikan unsur-unsur rasuah dengan membawa masuk gelombang biru dan merah untuk mengubah politik di pantai timur.
Ia susulan Menteri kemajuan desa dan wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membenarkan peruntukkan tambahan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan jaminan dana tambahan akan ditambah jika pengundi belia membawa gelombang PH-BN di Terengganu.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mendakwa pengumuman geran kepada golongan belia sebagai bentuk sogokan.
Khairy juga berkata, menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, sogokan tidak dibenarkan pada bila-bila masa.
“Bawah Akta Pencegahan Rasuah, sogokan pada bila-bila waktu tidak dibenarkan…dan ini (pengumuman Zahid) adalah sogokan.
Beliau berkata demikian dalam audio siar Keluar Sekejap semalam.
Mengulas lanjut, Khairy turut tidak menjangkakan pengumuman dibuat Presiden UMNO itu akan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Saya tidak ada keyakinan ia akan disiasat,” katanya pada siaran podcast Keluar Sekejap pada Sabtu.
Dalam pada itu, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan turut senada dengan Khairy dengan menyifatkan tindakan Ahmad Zahid sebagai satu kesalahan.
“Dia (Zahid) bercakap khusus untuk belia Terengganu. Cakap akan tambah syaratnya kena undi PH, BN.
Pada 28 Julai lalu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersetuju memperuntuk geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selain peruntukan sebanyak RM250,000 untuk Majlis Belia Malaysia Terengganu dan RM200,000 bagi persatuan permotoran negeri itu.
Ahmad Zahid berkata, jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan tersebut dalam PRN pada 12 Ogos ini.