BANGI, Isnin – Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk menghalang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan yang memfitnah Perdana Menteri itu di media sosial, laman web serta mana-mana platform lain.
Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar berkata, Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu pada prosiding semalam.
“Perintah injunksi itu dikeluarkan bagi menghalang defendan (Muhammad Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain.
“Defendan juga harus mematuhi perintah injunksi ex-parte ini dengan serta-merta selepas penyampaian perintah ini kepada defendan,” kata Nair ketika dihubungi hari ini.
Anwar, 75, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Muhammad Sanusi ketika berucap dalam satu kempen pilihan raya Jelajah PN Best Tambun tahun lalu. – BERNAMA