BANGI, Isnin – Lapan individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam himpunan terbuka berunsurkan elemen lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di hadapan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, kesemua lelaki yang ditahan itu berusia 18 hingga 56 tahun.
Mohd Shuhaily menambah, siasatan mendapati kesemua mereka terlibat dengan ajaran Ahmadi The Religian of Peace and Light sejak dua tahun lalu.
“Kesemua mereka direman sehari. Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Mohd Shuhaily, siasatan lanjut mendapati seorang daripada suspek pernah ditahan di Putrajaya kira-kira dua minggu lalu.
Sebagai rekod, kejadian yang dipercayai berlaku di hadapan sebuah pusat beli-belah terkenal di ibu negara dengan memaparkan beberapa lelaki dewasa memegang plakad dan kain rentang yang menyokong LGBT.