BANGI, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tampil menjawab dakwaan isu pelancong China yang tidak pulang ke negara asal sejak tahun 2018 seperti yang diminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
Menerusi kenyataan Tun M di laman Facebook rasminya, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyemak sendiri data tersebut berikutan kementerian itu yang bertanggungjawab berkenaan jumlah keluar masuk pelancong.
“Yang punyai maklumat ialah KDN dan menteri. Tiap tahun kerajaan isytihar jumlah pelancong yang masuk. Kerajaan tentu tahu jumlah yang keluar. Kenapa tanya saya,” jelasnya dalam kenyataan itu.
Tambahnya, beliau sedia maklum berkenaan hal itu pada sidang Parlimen seperti yang dilaporkan media tempatan pada 27 Julai 2022 lalu mengenai lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.
Katanya lagi, angka 1.5 juta turut disebut oleh pendakwa lain dan beliau hanya menerima dakwaan itu daripada mereka malah Tun M sendiri telah berjumpa dengan ramai dalam kalangan mereka yang memiliki rumah di Kuala Lumpur.
Oleh itu, Tun M menegaskan bahawa teknologi terkini membolehkan data dikutip di semua pintu masuk dan pintu keluar negara serta pelancong juga perlu menunjukkan passport yang mempunyai butiran lengkap.
Justeru, beliau mendakwa perkara itu adalah tanggungjawab KDN dan Menteri untuk menghitung pelancong yang masuk dan keluar.
“Bukankah menjadi tanggungjawab KDN dan menteri menghitung siapa yang masuk dan siapa yang keluar? Jika saya diberi akses kepada semua rekod saya boleh bukti. Tetapi untuk semak rekod-rekod yang disimpan oleh Kerajaan bayarannya amat tinggi. Ia seolah Kerajaan ingin sembunyi data.
“Apa gunanya rekod jika menteri pun tidak dapat maklumat akan data di dalamnya. Banyak lagi rekod yang disimpan oleh Kerajaan. Umpamanya siapa yang memiliki tanah, siapa yang kaya yang tinggal dalam perumahan mewah,” katanya.
Disebabkan itu, Tun M menggesa agar data itu segera didedahkan kerana rakyat berhak tahu berkenaan maklumat yang diperoleh.
Mengklasifikasikan B40 dan T20 sahaja tidak cukup, Kerajaan boleh dapat lebih banyak maklumat untuk bertindak dan menentu dasar, katanya lagi.