SERDANG, Isnin – Kluster ‘merajuk’ dijangka memberi pengaruh dan peralihan undi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN KE-15), 12 Ogos ini.
Penganalisis Politik, Dr Nur Ayuni Mohd Isa menjelaskan, kluster merajuk adalah dalam kalangan pimpinan tertinggi UMNO terdahulu serta sebahagian besar penyokong Barisan Nasional yang tidak bersetuju dengan kerjasama BN dan Pakatan Harapan terutamanya DAP.
Beliau berkata, ini akan memberi peluang yang besar kepada Perikatan Nasional (PN) untuk meraih undi.
Katanya, ia terbukti apabila berlaku di kerusi Parlimen Arau semasa PRU ke-15 tahun lalu apabila kekal dimenangi Datuk Seri Shahidan Kassim meskipun beliau bertanding atas tiket PN selepas tidak dicalonkan dalam BN.
“Dia ikut pada pemimpin juga, katakan Tan Sri Noh Omar di Kuala Selangor jadi auranya di Selangor dan turut sama berkempen untuk PN jadi akan mempengaruhi di kawasan itu.”
“Tan Seri Anwar Musa di Kelantan bagaimana beliau berkempen memberi ceramah bersama-sama dengan PN memberi pengaruh juga kepada pengikut UMNO sebelum ini ikut beliau mengundi PN. Kita tengok contoh di Perlis bagaiaman Datuk Seri Shahidan Kassim tu bagaimana auranya akan sama juga,” katanya.
Tambah Dr Ayuni, penerimaan penyokong PH dan BN dalam kerjasama politik di peringkat kerajaan juga amat sukar diterima serta bakal diterjemahkan dalam kertas undi PRU DUN ke-15 ini.
Berikutan itu, beliau menjangkakan akan berlaku banyak undi rosak atau peratusan mengundi menurun sebagai tanda protes penyokong PH-BN.
“Dan kluster merajuk ni ada juga kepada pengundi iaitu ahli parti terutamanya ahli parti UMNO mereka tidak bersetuju apabila UMNO, BN membuat kerjasama politik dengan PH, PKR, DAP, Amanah. Jadi bila tidak bersetuju di sini disebabkan sebelum pilihan raya menjanjikan tidak ada kerja sama.”
“Selepas pilihan raya kita tidak nafikan perlu membuat kerjasama sebab itu adalah strategi politik di kalangan pemimpin tetapi untuk memahamkan rakyat supaya menerima kerjasama di peringkat atasan peringkat pusat bukan mudah maknaya akan ada kluster ‘merajuk’ samada akan mengundi negatif kepada UMNO positif kepada PN.”
“Aataupun boleh jadi dia tidak keluar mengundi atau dijadikan undi rosak ketika hari pengundian sebab mereka kecewa dengan parti. Jadi, ini akan berlaku sama juga dengan parti PKR ataupun PH.”
Bagaimanapun katanya, bagi ahli tegar parti, ia dianggap tiada masalah untuk menyokong kerjasama PH-BN dan tetap akan mengundi mereka pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, beberapa bekas pimpinan Tertinggi UMNO dilihat menyokong PN semasa penamaan calon Sabtu lalu.
Antaranya, Tan Sri Noh Omar yang mengiringi anaknya, Nurul Syazwani Noh yang merupakan calon PN menentang calon PH, Mohd Yahya Mat Sahri di DUN Permatang, Tanjong Karang.
Katanya, undi Nurul Syazwani sama seperti mengundi dan menyokong Noh Omar.
Selain itu, Shahidan Kassim turut bersama-sama penyokong PN bagi memberi sokongan kepada calon PN di Gombak.
Manakala Tan Sri Annuar Musa dilihat memberi sokongan kepada calon PAS bagi DUN Melor, Kadok dan Kok Lanas di Kelantan.
Dalam perkembangan lain, Pengerusi Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, penyokong bBekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bertegas akan tetap menyokong PN pada pilihan raya enam negeri hujung minggu depan.
Katanya, mereka telah berasakan tertipu dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelasnya, sebagai ahli UMNO, mereka telah hilang kepercayaan terhadap Presiden kerana Ahmad Zahid menjadikan UMNO seolah-olah milik individu dan sesiapa sahaja yang menyuarakan pendapat bertentangan akan dipecat atau digantung.