BANGI, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat perhimpunan terbuka yang mempunyai unsur lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) di ibu negara yang tular baru-baru ini.
Menurut laporan media, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.
Kejadian dipercayai berlaku pada Sabtu lalu di hadapan sebuah pusat beli-belah terkenal dengan memaparkan beberapa lelaki dewasa memegang plakad menyokong LGBT.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam proses mendapatkan keterangan daripada beberapa individu yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan tersebut.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, keterangan itu bertujuan untuk menyiasat dan mengambil tindakan selanjutnya bersama pihak polis.
Mohd Ajib berkata, sebarang kesalahan yang berhubungan dengan akidah boleh dikenakan tindakan undang-undang dan hukuman di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, jika sabit kesalahan.
“Jabatan ini ingin mengingatkan umat Islam khususnya di wilayah-wilayah persekutuan agar menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam.
“Umat Islam juga diseru agar mendapatkan ilmu tentang ajaran Islam melalui sumber yang sahih dan berautoriti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.