BANGI, Isnin – PAS Kedah membuat keputusan hanya Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang akan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) untuk jawatan Menteri Besar bagi negeri itu.
Pesuruhjaya PAS, Datuk Ahmad Yahya berkata, setakat hari kedua kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 di negeri itu, tiada calon kedua selain Muhammad Sanusi.
“Setakat ini kami letakkan dia (Muhammad Sanusi) adalah calon utama, tidak ada calon kedua untuk PAS Kedah.
“Tapi kami faham, kami menghormati sistem untuk lantikan dan sebagainya sudah tentu PN Kedah akan mengangkat cadangan ini kepada PAS Pusat dan dipersembahkan kepada Sultan Kedah,” katanya kepada media selepas menghadiri siri ceramah mega PN DUN Gurun di Dataran Caltex, Pewaja Steel, malam tadi.
Hadir sama Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit dan calon PN bagi DUN Gurun, Baddrol Bakhtiar.
Bagaimanapun, Ahmad berkata, keputusan itu adalah berdasarkan kepada sudut politik yang digambarkan oleh PAS Kedah.
“Adab, susun atur dan proses itu akan diikut sebagaimana yang dituntut.
“Cuma dari sudut politik, kami tegaskan itulah (Muhammad Sanusi) satu-satunya calon kita,” katanya lagi.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi berkata, beliau belum pasti sama ada kekal sebagai Menteri Besar Kedah atau jawatan itu bakal digantikan dengan wakil rakyat lain. – MALAYSIAGAZETTE.