BANGI, Selasa – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menawarkan Lima Tekad yang mempunyai 52 program bagi semua lapisan masyarakat Selangor sepanjang tempoh lima tahun akan datang bermula 13 Ogos ini.
Beliau yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua memaklumkan tawaran itu semasa pelancaran Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam malam tadi.
“Lima Tekad, 52 tawaran ini akan segera kita laksanakan dengan mandat rakyat Selangor dalam PRN pada 12 Ogos ini.
“Ini tekad kita untuk rakyat Selangor sepanjang lima tahun akan datang. Ini adalah janji dari semua calon PH-BN Selangor dan seluruh pasukan kita untuk membawa Selangor sebagai negeri stabil, maju, aman, harmoni dan menjadi juara di Malaysia serta Asia Tenggara,” katanya.
Tambah Amiruddin, program yang direncanakan itu adalah untuk kestabilan serta kemakmuran Selangor menerusi tekad kerajaan negeri untuk lima tahun kegemilangan Selangor.
Lima Tekad, 52 tawaran itu terdiri daripada Tekad 1 : Ekonomi unggul dan pendidikan berkualiti pemangkin peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Tekad ke-2 pula mengambil kepentingan agama sebagai Cahaya dan inspirasi kehidupan bermaruah di Selangor antaranya subsidi tambang dan kos mengerjakan haji RM2,000 kepada RM3,000 jemaah muassasah yang kali pertama menunaikan rukun Islam kelima itu selain bantuan dalam aspek pendidikan kepada sekolah tahfiz dan sekolah agama.
Manakala Tekad 3 : Perkhidmatan kerajaan yang cekap dan efisen dengan mendigitalkan sepenuhnya perkhidmatan kerajaan untuk memudahkan urusan individu, syarikat dan agensi di Selangor.
Tekad 4 : Pembangunan mampan, selesa dan berdaya huni dengan tawaran kediaman “Kita Selangor” berjumlah 200,000 unit lengkap dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta fasiliti selesa berharga RM250,000 ke bawah bagi warga Selangor serta pembiayaan kewangan dengan institusi perbankan.
Tekad 5 pula Selangor negeri penyayang yang membela kepentingan rakyat dengan mengembangkan 46 program Iltizam Selangor Penyayang kepada sasaran 60 program dan meningkatkan usaha pemberdayaan rakyat.