BANGI, Selasa – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin didakwa menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) dalam ceramah pilihan raya di Kapar, Klang pada malam Ahad.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan Muhyiddin tidak menghormati nasihat majlis Raja-raja Melayu yang mahu isu kalimah Allah tidak lagi dipolitikkan.
Jelas Saifuddin, sikap Muhyiddin yang masih memainkan sentimen keagamaan biarpun dinasihat Majlis Raja-Raja menunjukkan pemimpin itu sanggup melakukan apa sahaja demi kelangsungan politik.
“Kabinet telah buat keputusan, kita akan angkat beberapa cadangan untuk adakan satu arahan pentadbiran baharu dikemukakan kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) dipengerusikan Sultan Selangor.
“MKI kemudian bentangkan kepada mesyuarat Majlis Raja-Raja akan datang. Sehingga tempoh itu, tidak dibenarkan lagi mempolitikkan isu berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin mendakwa isu kalimah Allah menggambarkan Kerajaan PH-BN kini diterajui bukan Islam selain mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipengerusikan DAP susulan kerajaan tidak meneruskan rayuan di mahkamah berhubung kes kalimah Allah.
Mei lalu, media melaporkan KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut Kristian boleh guna kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab, iaitu Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 18 April lalu.
Selain itu, KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.
Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman Wanita Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon penrisytiharaan mengenai hak perlembagaan berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.