BANGI, Selasa – Parti MUDA menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap parti itu sebagai pengacau undi dan pemecah undi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15, 12 Ogos ini.
Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, naratif pecah undi hanya dibuat oleh parti yang kononnya sudah memerintah lama di satu kawasan kerana bagi mereka setiap orang berhak bertanding berdasarkan prinsip demokrasi yang ditetapkan negara.
“Naratif pecah undi ini ataupun kacau undi ini hanya dibuat oleh parti yang kononnya memerintah kawasan itu. Kononnya kalau mereka sudah lama bertanding di sesuatu kawasan, tidak ada orang lain boleh datang dan bertanding sama sedangkan dalam asas demokrasi semua orang ada ruang dan peluang yang sama untuk bertanding dan bawa suara rakyat.
“Rakyat perlu diberi ruang untuk memilih yang terbaik. Bukannya kamu sudah bertanding di sana berperangai sepenggal. Sudahlah tidak bawa Suara Rakyat kamu marah pula orang hendak datang bertanding dan itu bagi saya adalah satu naratif yang mencabar dan usaha untuk merendah-rendahkan prinsip demokrasi,” kata Luqman dalam satu temu bual eksklusif bersama TV Pertiwi semalam.
Menurutnya lagi, demokrasi adalah untuk semua terutama MUDA kerana ia adalah satu impian dan iltizam parti itu untuk membawakan suara rakyat lebih baik berbanding parti-parti lain.
Justeru, ia menjadi harapan MUDA untuk merealisasikan hasrat itu dengan memenangi pilihan raya kali ini.
“Kita bekerja sepanjang masa. Misi kita, tumpuan kita kali ini adalah berjumpa dengan pengundi. Kita mahu dengar masalah mereka.
“Kita hendak tahu sebagai calon apa perlu kita angkat dan suarakan untuk mereka dan saya percaya dalam tempoh dua minggu akan datang ini kita akan pergi ke seluruh kawasan-kawasan yang ditandingi.
“Kita hendak bawa suara rakyat dan angkat suara rakyat. Yang paling penting kita akan bagi isyarat kepada kerajaan dan juga pembangkang bahawa muda bersedia dan serius untuk menang dalam pilihanraya kali ini,” jelasnya lagi.
Bagi PRU DUN ke-15 kali ini, muda menghantar 19 calon di empat buah negeri iaitu Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Luqman juga akan berentap di DUN N.14 Bandar di Terengganu yang menyaksikan persaingan tiga penjuru diwakili oleh Ahmad Shah Muhamed dari Perikatan Nasional dan Armi Irzan Mohd mewakili Barisan Nasional.