BANGI, Isnin- Secara jelas dan nyata, PAS menyifatkan budaya korupsi semakin menebal dan kian berakar umbi dalam diri pemimpin-pemimpin utama negara.
Ekoran itu, parti tersebut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera mengambil tindakan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid berhubung peruntukan lebih RM500,000 kepada beberapa persatuan di negeri Terengganu baru-baru.
Menerusi kenyataan media, Ketua Penerangan PAS Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, sekiranya benar seperti yang dijelaskan SPRM bahawa pemberian geran inisiatif tersebut atas kapisiti kerajaan dan bukannnya berasaskan rasuah, mengapa terdapat syarat yang memerlukan penerima memberi undi kepada PH dan BN.
“Jika benar seperti SPRM tegaskan bahawa “pemberian geran inisiatif kerajaan bukan suatu rasuah”, kes ini berlainan kerana Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyalahgunakan inisiatif kerajaan dengan syarat inisiatif lanjut akan diberi seandainya undi diberikan kepada PH dan BN,” katanya.
Ujarnya, jangan kerana ahli politik itu adalah pemimpin negara, seluruh pihak berkuasa kian menutup sebelah mata dan gusar untuk mengambil sebarang tindakan.
Lantaran itu, pihaknya tetap komited untuk memperjuangkan Malaysia bebas daripada layanan dua darjat terhadap isu rasuah berkenaan.
Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Jelas, Khairil pengumuman itu dibuat sehari sebelumnya hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN-15).