BANGI, Selasa – Sebanyak 83 laporan diterima Polis Negeri Sembilan membabitkan kes yang berlaku melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bermula Sabtu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kes berkenaan berkaitan ceramah atau aktiviti kempen tanpa mendapat permit dari polis serta satu kes merosakkan poster di daerah Jempol.
Katanya, pihak polis setakat ini tidak menegsan mana-mana individu atau calon memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja) semasa ceramah dijalankan sepanjang tempoh kempen.
“Kami ingatkan semua pihak yang berkempen untuk tidak memainkan isu 3R, sekiranya tiada pihak tampil membuat laporan berkaitan isu 3R yang dimainkan, kami sendiri yang akan membuat laporan kerana kami memantau setiap perjalanan kempen sepanjang tempoh yang ditetapkan.
“Semua ceramah dipantau serta berjalan dengan baik. Tiada isu kacau ganggu dan pemantauan yang dilakukan ini termasuklah daripada segi media sosial selain pemantauan secara fizikal,” katanya.
Dalam perkembangan lain Ahmad Dzaffir berkata punca kemalangan jalan raya membabitkan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir awal pagi semalam masih lagi dalam siasatan.
Ujarnya, pembantu Mohd. Zaidy iaitu Muhammad Khairul Ahnaf Baharom, 36, yang mengalami kecederaan parah dalam kemalangan itu masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.