BANGI, Selasa – Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak mampu untuk menawan Kajang walaupun PSM bergabung dengan parti tersebut.
Malah, calon PSM DUN Kajang, S. Arulchelvan berkata, dakwaan orang ramai bahawa PSM hanya wujud untuk memecahkan undi adalah tidak benar.
“Orang mengatakan PSM ini bertanding nak pecah undi dan sebagainya tetapi kalau kita lihat Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, PH menang 71 peratus, kedua PAS 15 peratus dan kemudian BN 13 peratus.
“Jadi gabungan PH dan BN dah jadi majoriti dan mereka tak boleh cakap kalau PSM masuk PN boleh menang, tiada peluang PN boleh menang di Kajang,” katanya.
Arulchelvan turut berpandangan bahawa Kerajaan Madani yang mentadbir Malaysia kini mempunyai banyak masalah serta konflik dalam gabungan itu.
Jelas beliau, Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 ini memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka yang jelas ingin membela masyarakat.
“Dan saya lihat bila PH dan bersama BN ada banyak masalah, sekarang saya rasa penduduk ada pilihan untuk pilih calon yang boleh mewakili,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Manifesto PSM di Kajang, Selangor hari ini.
Tiga agenda utama dalam manifesto PSM ialah dari aspek pembangunan, perumahan dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti setempat.