BANGI, Selasa – Kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu pada Jumaat lalu merupakan satu bentuk sogokan wang yang melanggar peraturan pilihan raya.
Calon PSM, S. Arulchelvan mengkritik tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menutup kesalahan Ahmad Zahid apabila menganggap kenyataan Presiden UMNO itu satu perkara biasa.
“Saya ingat apa yang Zahid cakap memang kesalahan pilihan raya iaitu sogokan dan korupsi.
“Apa yang saya lebih kecewa ialah Perdana Menteri (Anwar) yang kata apa yang Zahid cakap itu okay, “ujarnya.
Tambah Arulchelvan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula didakwa tidak memainkan peranan mereka dengan baik apabila tiada tindakan dikenakan kepada Ahmad Zahid yang jelas menormalisasikan amalan rasuah.
Jelasnya, reformasi yang dulunya dibawa Anwar Ibrahim juga kini dilihat tidak selari dengan tindakan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Ahmad Zahid amat menghampakan, apa dia cakap memang tak elok, apa yang Perdana Menteri cakap pun tak elok dan Azam Baki juga.
“Ini menunjukkan bahawa SPRM ini membela parti yang memerintah.
“Saya ingat Anwar memperjuang reformasi bukan hanya perkataan tetapi juga tindakan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Manifesto PSM di Kajang, Selangor hari ini.
Pada Jumaat lalu, Ahmad Zahid dalam ucapan semasa program Sentuhan Kasih Desa di Terengganu mengumumkan tambahan peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).
Kenyataan itu dikemudian ditafsir kepada cubaan rasuah apabila beliau turut menyebut perkara berkaitan undi dan gabungan PH-BN.
Bagaimanapun semalam, Anwar Ibrahim menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa peruntukan itu diumumkan sebelum penamaan calon.