BANGI, Selasa – Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa, ramai antara pemimpin serta ahli UMNO akan mula meninggalkan parti keramat orang Melayu itu.

Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa
Ini kerana, dakwanya, rakyat sudah tidak yakin dengan perjuangan sebenar UMNO menjadi punca utama ramai pemimpin dah ahli mula meninggalkan parti berkenaan.
Ujar Annuar, pihaknya akan membuat satu pengumuman penting, mengenai pengisytiharan ramai pemimpin, ahli parti, mantan Ketua Setiausaha dan bekas EXCO yang akan dikatakan akan keluar daripada UMNO.
“Kami akan buat pengumuman penting, termasuk pengisytiharan ramai pemimpin dan ahli parti serta mantan Ketua Setiausaha dan bekas EXCO yang akan keluar daripada UMNO.”
Tanpa menyatakan berapa ramai, pemimpin UMNO yang keluar itu bukan sahaja dalam kalangan Ahli Parlimen Ketereh tetapi melibatkan beberapa kawasan yang lain.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media di Program Ceramah Perdana Isu Semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Ketereh di Kelantan pada Isnin.
Ujar bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, pengumuman penting berkenaan akan dilaksanakan pada 4 Ogos ini yang turut dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Turut hadir, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dan calon PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi.
Terdahulu, Annuar menyifatkan UMNO sedang menghadapi satu krisis yang sangat tenat sehingga akan menjerumuskan kepada penutupan beberapa cawangan UMNO.