BANGI, Selasa – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan punca parti itu memutuskan kerjasama politik dengan DAP.
Abdul Hadi berkata, ia berpunca daripada sikap campur tangan DAP ke atas dasar membabitkan Islam.
Tambahnya, keputusan untuk memutuskan kerjasama itu dimuktamadkan susulan pergeseran mengenai beberapa isu yang gagal dipersetujui kedua-dua parti, antaranya hasrat untuk mengembalikan pilihan raya perbandaran.
PAS menentang cadangan kembali mengadakan pilihan raya perbandaran yang dihapuskan selepas 13 Mei 1969 atas alasan pelaksanaannya mencetuskan ketegangan antara kaum.
“Tiba-tiba ikut DAP (mahu kembali mengadakan pilihan raya perbandaran). PAS tidak bersetuju (cadangan berkenaan) dimasukkan dalam manifesto.
Beliau berkata demikian susulan pertikaian awam punca mengapa PAS dahulu bekerjasama dengan DAP tetapi sekarang tidak di Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor semalam.
“Inilah jawapannya apabila orang ramai bertanya mengapa PAS ini sekejap boleh berpakat (dengan DAP) dan kemudian tidak boleh terus menjalinkan kerjasama,” katanya.
Abdul Hadi mendakwa, PKR menyokong pilihan raya perbandaran dan menyifatkan manifesto itu sangat berbahaya.
“Saya bertemu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyatakan pendirian PAS tidak bersetuju kerana ia adalah agenda politik. Kalau buat pilihan raya perbandaran, habis bala ini DAP perintah. Dia perintah bandar, ikut kuasa dia apa dia hendak buat di dalam bandar.
“Ini bahaya dan PKR boleh sokong benda macam ini. Mereka juga mahu laksanakan Islam di Kelantan dan Terengganu untuk golongan Muslim sahaja, tidak membabitkan golongan bukan Islam. Ini dah kacau (agenda perjuangan PAS),” katanya.