BANGI, Rabu – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melakukan siasatan terhadap kumpulan yang membawa sepanduk berkaitan lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) dan ajaran Ahmadi di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kes tersebut disiasat di bawah Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menasihatkan seluruh umat Islam agar terus berpegang teguh kepada ajaran Islam serta menjauhkan diri daripada terlibat dengan apa jua ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam,” katanya.
Menerusi satu kenyataan di Facebook rasminya, beliau berkata selaku pihak berkuasa agama Islam di Wilayah Persekutuan, JAWI tidak akan berkompromi sesiapa sahaja yang cuba membawa masuk budaya hidup songsang yang bercanggah dengan agama Islam.
Beliau turut menasihatkan seluruh umat Islam agar terus berpegang teguh kepada ajaran Islam serta menjauhkan diri daripada terlibat dengan apa jua ajaran dan fahaman yang bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.
“Apa-apa usaha untuk mempromosi serta menormalisasikan gaya hidup songsang yang bercanggah dengan ajaran Islam dan fitrah insan seperti LGBT adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“Usaha-usaha untuk menyekat penyebaran fahaman songsang tersebut perlulah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan bersepadu,” ujarnya.
Jelas Naim, usaha bagi menghalang ajaran songsang ini perlu digiatkan bagi memastikan penyebaran fahaman songsang itu dapat disekat.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas agensi tersebut mengawal keadaan.
Pada 29 Julai lalu, tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan lapan orang lelaki berhimpun di hadapan pusat beli- belah untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap golongan LGBT.
Namun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, kesemua suspek diberkas di lokasi sama sejurus himpunan tersebut diadakan.
Siasatan mendapati individu terlibat memegang plakad berunsur LGBT selain beberapa perkataan yang menjurus kepada ajaran Ahmadi.