BANGI, Rabu – Konflik berhubung isu calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas terus menjadi bualan sehingga PAS negeri dilihat masih tidak menerima keputusan Majlis Presiden PN itu.
Malah, lapor media tempatan, PAS negeri menyifatkan pencalonan Presiden Gerakan, Dominic Lau Hoe Chai di kawasan majoriti Melayu itu akan memberi laluan mudah kepada lawan.
Dominic akan ditentang oleh calon daripada Pakatan Harapan, Azrul Mahathir Aziz yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Infografik calon-calon bukan Melayu bertanding di DUN majoriti Melayu. Foto: FB GPS
Dalam satu kajian oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS), DUN Bayan Lepas mempunyai 64.4 peratus pengundi Melayu dan seramai 39, 754 daftar pemilih bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15.
Terkini, GERAKAN tidak diundang dalam satu ceramah Mega PN Best di Sungai Dua, Tasek Gelugor malam tadi yang dihadiri Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Ia selepas Dominic dikatakan diminta pulang dari ceramah tersebut.
Lapor media tempatan, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong memaklumkan, mereka hanya mengetahui penganjuran ceramah tersebut menerusi siaran langsung di Facebook.
Menepis dakwaan konflik antara dua parti, katanya, ceramah itu mungkin untuk PAS sahaja dan mereka tidak diundang kerana dibuat di lokasi majoriti Melayu.
Selain Dominic, terdapat lima lagi calon bukan Melayu bertanding di kawasan majoriti Melayu.
PH meletakkan dua calon bukan Melayu di Selangor iaitu DUN Bukit Melewati, Thiban Subbramaniam yang mempunyai 62 peratus pengundi Melayu, DUN Sungai Pelek, Lwi Kean Keong (51.3 peratus), manakala di Kedah, DUN Bukit Selambau, Summugam Rengasamy (58.9 peratus) dan Tan Kok Yew, DUN Derga yang mempunyai 59.8 peratus Melayu.
Di Kedah juga, PN mencalonkan Wong Chia Zhen bagi DUN Kulim dengan peratusan Melayu 61.9.