BANGI, Rabu – Jumlah penduduk di Malaysia pada tahun 2023 meningkat kepada 33.4 juta, berbanding 32.7 juta tahun lepas.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin menerusi satu kenyataan dua hari lalu berkata, peningkatan tersebut disebabkan pertambahan bilangan penduduk bukan warganegara yang meningkat daripada 2.4 juta pada 2022 kepada 3.0 juta pada tahun 2023.
Peningkatan kadar pertumbuhan itu turut berlaku di beberapa negara lain seperti Singapura (3.4 peratus), Australia (1.9 peratus), Jerman (1.3 peratus), Kanada (0.7 peratus) dan Amerika Syarikat (0.5 peratus).
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga negeri telah melepasi kadar pertumbuhan nasional, iaitu Sabah sebanyak 5.1 peratus, Labuan (2.6 peratus) manakala Selangor (2.2 peratus).
Tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada 2023 ialah Selangor (21.6 peratus) diikuti Johor (12.3 peratus) dan Sabah (10.8 peratus).
Tambah beliau, purata kepadatan penduduk Malaysia ialah 101 orang bagi setiap kilometer persegi.
Kuala Lumpur mempunyai kepadatan penduduk tertinggi dengan 8,235 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Putrajaya dengan jumlah 2,017 orang, dan Pulau Pinang sebanyak 1,718 orang.
Negeri dengan kepadatan penduduk paling rendah pula ialah Sarawak, dengan 20 orang bagi setiap kilometer persegi, diikuti oleh Pahang (45 orang) dan Sabah (48 orang).
Dua hari lalu, media melaporkan penduduk Malaysia dijangka bertambah 2.1 peratus pada 2023 dan diterajui oleh migrasi antarabangsa.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah penduduk Malaysia pada tahun 2023 dianggarkan 33.4 juta berbanding 32.7 juta pada 2022.
Tambahnya, peningkatan kadar pertumbuhan penduduk adalah disebabkan bilangan bukan warganegara yang lebih tinggi yang berkemungkinan meningkat daripada 2.5 juta pada 2022 kepada 3 juta pada 2023.