PUTRAJAYA, Rabu – Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini menghantar surat tuntutan penjelasan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan 1.2 juta warga asing dari Tanah Besar China yang berada dalam negara dipercayai tidak pulang ke negara asal dan mereka tidak dapat dikesan.
Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA, Aminuddin Yahaya berkata, tindakan ini diambil kerana kerajaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung tindakan susulan untuk menyelesaikan isu ini.
“Kita mengambil tindakan ini kerana kita lihat kerajaan tiada apa-apa kenyataan atau tindakan susulan bagi menyelesaikan isu ini. Jadi sebab itu, kita bertindak hari ini bagi pihak seluruh rakyat yang pentingkan tentang keselamatan negara untuk meminta menteri membuat siasatan secepat mungkin.
“Itu 1.2 juta yang diketahui, tapi yang tak diketahui mungkin ramai lagi, mungkin 2 juta. Itu tak termasuk lagi pekerja pekerja yang mendaftar, jadi sebenarnya negara kita ini ada hampir, mungkin lima hingga enam juta orang luar dalam negara kita.” katanya.
Aminuddin juga berkata, perkara ini akan menimbulkan ketegangan sosial dan masalah ekonomi kepada penduduk tempatan sekiranya tidak diselesaikan secepat mungkin.
Tambahnya, beliau bimbang dengan keselamatan negara yang terancam sekiranya kerajaan memandang remeh isu yang melibatkan 1.2 juta warga China ini.
Tegasnya, mustahil pihak berkuasa tidak mampu mengesan warga China dengan jumlah yang begitu ramai sehingga mencecah jutaan orang.
“Jadi bagi saya ini akan menimbulkan satu ketegangan sosial, masalah sosial, masalah ekonomi juga pada penduduk tempatan. Kita sudah hilang tanah banyak, kita takut kalau isu ini tak diambil kira serius oleh pihak kerajaan, lama-lama keselamatan negara kita juga boleh dirampas orang.
“Kita tak tahu yang datang itu siapa, mungkin ‘intelligence’, mungkin askar, kita tak tahu. Cuma mereka register atas polis. Ini yang bagi saya kena ada ketegasan, kita mempunyai sistem yang cukup baik, sistem ‘intelligence’ yang cukup baik, jadi bagi saya tidak ada alasan untuk kata kita tidak boleh jumpa 1.2 juta orang ini,” katanya.
Pada 26 Julai lalu, media melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh di antara 2018 hingga 2021.
Kenyataan itu menimbulkan kegusaran ramai pihak yang menggesa kerajaan menyiasat isu tersebut dengan lebih lanjut demi keselamatan negara.