PUTRAJAYA, Khamis – Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar surat tuntutuan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkaitan kehilangan 1.2 juta warga asing dari China yang dipercayai tidak pulang ke negara asal mereka.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari atau lebih dikenali sebagai Cikgu Izzat berkata, pihaknya memberi masa selama tujuh hari kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudddin Nasution untuk menjawab surat tersebut.
Tambahnya lagi, laporan mengenai kehilangan 1.2 juta warga China itu disahkan oleh laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2018.
Menerusi hantaran video di akaun TikTok peribadi miliknya, beliau menggesa rakyat Malaysia agar bersama-sama menantikan jawapan daripada pihak menteri kerana perkara ini melibatkan keselamatan negara.
Beliau juga berkata, surat tersebut sudah dihantar kepada wakil menteri sekitar jam tiga petang semalam.
“Hari ini, saya nak mohon anda semua sekali lagi kita beri tempoh tujuh hari kepada pihak menteri untuk memberi respons kepada surat kita atau dia anggap kita ini sebagai sampah sahaja. Anda tolong saya, bantu saya, follow saya, sebarkan video ini. Share beramai-ramai.
“Kita bagi tempoh tujuh hari saja kepada menteri untuk respons surat berkaitan tuntutan penjelasan kehilangan 1.2 juta warga China dalam Malaysia,” katanya.
Pada 26 Julai lalu, media melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh antara 2018 hingga 2021.
Kenyataan itu menimbulkan kegusaran banyak pihak, sekali gus menggesa kerajaan menyiasat isu tersebut dengan lebih lanjut demi keselamatan negara.