BANGI, Khamis – Sangat mengejutkan apabila sebuah laporan media mendedahkan bahawa Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha mempengaruhi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini.
Perunding Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahya berkata, Malaysia tidak akan selamat sekiranya wujud campur tangan AS dalam negara.
“Kita kena ingat tidak ada negara yang akan selamat jika duduk di bawah telunjuk Amerika Syarikat apatah lagi jika terhutang budi dengan ‘personal‘ sebegitu rupa. Mereka tidak akan benarkan kita bergerak bebas dan muncul sebagai satu kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Menurutnya lagi, jika dahulu gerak-geri Pakatan Harapan (PH) agak terhad disebabkan mereka adalah blok pembangkang, namun apabila menjadi kerajaan, mereka melakukan segala-galanya ibarat semua polisi dan strategi negara adalah mengikut kehendak AS.
Perkara ini juga akan menyebabkan AS menekan serta memaksa negara untuk mengikut telunjuk mereka dan pemimpin hanya menjadi boneka dalam negara.
Dalam pada itu, Aminuddin menggesa agar siasatan dilakukan ke atas pihak yang terlibat bagi memastikan kebenaran yang dilaporkan agar rakyat mengetahui sumber dana parti-parti politik, termasuk kerajaan serta pembangkang.
Ini kerana, beliau khuatir masa depan negara ditentukan oleh orang lain yang tidak ada perasaan kasih kepada negara dan kecintaan kepada watan disebabkan kepentingan nafsu serakah mereka terpelihara.
“Ini bukan kali pertama kita dengar dana luar masuk untuk menyokong parti-parti tertentu untuk menang. Sefaham saya memang tiada undang-undang yang melarangnya kerana sehingga kini akta berkenaan pendanaan masih tiada, dan kerajaan mahupun pembangkang dilihat tidak serius pun untuk mengusulkannya di Parlimen,” jelasnya lagi.
Jelas Aminuddin, ini bukan kali pertama kes dana luar masuk untuk menyokong dan memenangkan parti-parti tertentu kerana sehingga kini masih tiada akta serta undang-undang yang melarangnya.
Justeru, beliau memberi amaran supaya masyarakat tidak terlalu teruja dalam persaingan politik yang begitu kompetitif sehingga lalai dan tergadai segala-galanya pada kemudian hari.
Terdahulu, sebuah portal media melaporkan Institut Republikan Antarabangsa (IRI) telah menyediakan berjuta-juta dolar untuk kumpulan belia tempatan termasuk UNDI18 dan Ypolitics menjalankan aktiviti politik di kampus, sekolah dan menarik lebih ramai pelajar kolej mengundi Kerajaan Persekutuan.