PUTRAJAYA, Khamis – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengarahkan Kementerian/Jabatan Pengguna (KJP) menyemak dan mengemas kini data tanah Persekutuan yang berada di kawalan masing-masing serta mempercepatkan proses pembangunan yang dirancang.
KJP yang terletak di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) antara lain memainkan peranan memastikan tanah di bawah kawalannya diuruskan dengan baik dan dioptimumkan penggunaannya.
Berucap merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan sempena Hari Tanah Negara ketujuh di Putrajaya hari ini, beliau berkata, ia adalah selaras dengan dasar Hala Tuju Baharu Pengurusan Tanah Persekutuan 2021-2030 yang menetapkan agar tempoh pegangan tanah Persekutuan oleh KJP dihadkan kepada lima tahun sahaja dengan tempoh rayuan selama dua tahun yang akan dipertimbangkan mengikut justifikasi.
“Bagi tanah Persekutuan yang tidak dibangunkan, KJP hendaklah berunding dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) berhubung kaedah yang terbaik bagi memaksimumkan pulangan hasil kepada Kerajaan Persekutuan.
Dalam hal ini, kaedah seperti pajakan dan sewaan boleh dipertimbangkan. Sekiranya tanah tersebut tidak lagi diperlukan, kaedah tukar guna kepada KJP lain atau dilupus menerusi serahan balik kepada Pihak Berkuasa Negeri boleh dikaji serta dikemukakan kepada pihak Jawatankuasa Khas Pembangunan dan Kegunaan Tanah Persekutuan (JKPKTP),” katanya.
Statistik JKPTG pada 2021 menunjukkan sebanyak 1,444 lot tanah Persekutuan berkeluasan lebih 9,399.09 hektar yang belum atau tidak dibangunkan untuk tempoh lima tahun atau lebih mulai tarikh pemilikan tanah.
Menurut Mohd Zuki, ia termasuk tanah yang telah diperoleh melebihi tempoh 20 tahun yang dibiarkan kosong dan tiada pembangunan dilaksanakan, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada kerajaan dari segi ekonomi dan sosial.
Beliau berkata JKPTG dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang giat melaksanakan peluasan Sistem e-Tanah ke seluruh negeri di Semenanjung Malaysia dan tiga Wilayah Persekutuan.
“Pada masa ini terdapat empat negeri yang telah melaksanakan e-Tanah iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, dan Perak. Saya berharap sistem ini segera diperluaskan dengan mengambil kira impak yang bakal dirasai rakyat,” katanya.
Selain itu, katanya pindaan juga sedang dibuat terhadap Kanun Tanah Negara (KTN) bagi memastikan lebih banyak urusan berkaitan tanah seperti pengisian borang berkanun, carian maklumat tanah dan penyerahan borang ke pejabat tanah dapat dilaksanakan secara dalam talian.
Sebagai langkah integrasi data, Mohd Zuki turut mengalu-alukan penjenamaan semula Sistem MyeTaPP JKPTG kepada Sistem MyLAND yang bakal dilancarkan Oktober depan.
Sistem MyLAND akan menjadi tunjang utama kepada pengurusan tanah Persekutuan dan pusaka kecil yang pantas, tepat dan berintegriti dan akan diintegrasikan dengan sistem utama lain antaranya Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
MyeTaPP merupakan platform bagi orang awam memohon pembahagian pusaka kecil dan urusan lain berkaitan pengambilan tanah.
Hari Tanah Negara disambut pada 27 Julai setiap tahun dan tema sambutan tahun ini adalah “Pentadbiran Tanah Pemacu Kemakmuran Malaysia MADANI”.
Persidangan Tanah Persekutuan itu diadakan buat julung kali sebagai platform libat urus dan komunikasi dua hala antara KJP dan PTP serta pihak berkepentingan lain. – BERNAMA