BANGI, Khamis – Tempoh 24 jam diberi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil kepada dua individu untuk memohon maaf dan menarik balik tuduhan atau berdepan saman kerana melontar fitnah kononnya beliau menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang baru-baru ini.
Fahmi berkata, notis tuntutan telah dihantar oleh peguamnya kepada penceramah bebas Ahmad Dusuki Abdul Rani dan pentadbir Laman Facebook N13 Kuang petang Rabu.
“Ketua polis Selangor mengatakan berdasarkan siasatan 12 orang telah dipanggil, saya Fahmi Fadzil tidak bercakap politik dalam masjid.
“Maka saya telah mengarahkan supaya peguam-peguam saya saman Ahmad Dusuki dan saman admin bagi page N13 Kuang kerana telah memfitnah saya,” katanya.
Menurut Fahmi, notis tersebut bagi membersihkan namanya daripada tuduhan mengadakan ceramah di masjid sedangkan beliau cuma menjelaskan tindakan mengharamkan kumpulan muzik The 1975 seperti diminta oleh ahli jawatankuasa masjid ketika singgah solat di lokasi itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis, Klang pada Rabu.
Tangkap layar hantaran kenyataan oleh pentadbir N13 Kuang berkaitan ceramah Fahmi.
Jelasnya lagi, notis tersebut juga adalah bagi menunjukkan bahawa perbuatan memfitnah tidak boleh sama sekali dikompromi terutama dalam kehangatan kempen PRN yang sedang berlangsung.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Fahmi yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang hujung minggu lalu
Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video itu dan usaha mengesan mereka sedang giat dilakukan kerana membuatkan kenyataan tidak benar.