PUTRAJAYA, Khamis – Kerajaan seolah-olah memandang remeh isu melibatkan 1.2 juta warga China yang ‘hilang’ dalam negara kerana sehingga kini tiada sebarang penjelasan dibuat meskipun ia melibatkan keselamatan negara.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali berkata, beliau menggesa kerajaan memberikan penjelasan secara terperinci berhubung situasi tersebut.
Syed Hasan juga berkata, rakyat Malaysia sendiri tidak mengetahui tujuan sebenar jutaan warga dari China itu tidak pulang ke negara asal mereka, sekaligus menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berhubung isu keselamatan negara.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan mengadakan sesi perjumpaan bersama wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan penjelasan agar mereka boleh menjelaskan situasi sebenar kepada masyarakat.
“Kita pun ingin tahu juga, mereka yang tidak balik ini apakah urusannya di sini sebenarnya. Apakah mereka sebagai kumpulan-kumpulan yang boleh menimbulkan masalah dalam negara atau mereka adalah orang-orang yang datang ke sini sebagai ‘scammer’, gunakan Malaysia punya ‘base’, yang dulu sebelum ni pernah ditahan dan ditangkap beberapa kali, dibuat serbuan oleh pihak berkuasa.
“Jadi apakah mereka terus dilindungi oleh pihak-pihak tertentu, kita tak tahu juga. Itu kami berharap seperti mana kata saudara Izzat tadi, adakan perjumpaan dengan wakil-wakil NGO memberi penjelasan dengan begitu konkrit supaya kini kami boleh sampaikan kepada ahli-ahli kami yang begitu risau buat masalah ini,” katanya ketika ditemui wartawan TV Pertiwi.
Semalam, gabungan NGO menyerahkan surat tuntutan penjelasan berkaitan isu 1.2 juta warga China yang masih berada dalam negara dan tidak pulang ke negara asal mereka.
Sesi penyerahan surat itu disertai oleh wakil-wakil pelbagai NGO antaranya Perunding Kanan Politik dan Perundangan ISMA, Aminuddin Yahaya dan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia, Mohd Nor Izzat Mohd Johari.
Pada 26 Julai lalu, media melaporkan lebih 1.2 juta warga China dikesan tidak keluar dari Malaysia selepas tiba ke negara ini dalam tempoh antara tahun 2018 hingga 2021.
Kenyataan itu menimbulkan kegusaran banyak pihak yang menggesa kerajaan menyiasat isu tersebut lebih lanjut demi keselamatan negara.