BANGI, Khamis – Penyelesaian kes melibatkan mana-mana individu termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dibuat berdasarkan prinsip-prinsip perundangan tertentu secara ketat.
Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan representasi kes Ahmad Zahid kepada Peguam Negara (AG) yang kononnya sebelum ini mendakwa terdapat maklumat baharu berhubung kes itu.
Shahrulufti memberikan contoh konsep ‘prima facie’ yang jelas menunjukkan terdapat bukti awal untuk menyokong tuduhan.
Tegasnya, keputusan akhir sesuatu kes perlu berada di tangan mahkamah yang adil dan bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pemimpin politik.
Shahrulufti berkata, peraturan perundangan menetapkan semua individu termasuk pemegang jabatan tertinggi harus patuh pada undang-undang yang sama tanpa mengira pangkat.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook rasmi PUTRA hari ini.
Ujarnya, tindakan dan keputusan perlu berlandaskan undang-undang yang berlaku tanpa memberi sebarang kelebihan kepada individu tertentu bagi menjaga keadilan dan integriti dalam sistem kehakiman.
Beliau juga menegaskan kepentingan peranan peguam negara dalam menilai representasi dan bukti yang dikemukakan dalam kes untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara adil.
Tambahnya, keselamatan, ketelusan dan integriti sistem perundangan adalah faktor penting yang perlu diperhatikan dalam mengendali sesuatu isu.
Pada 10 April lalu, Ahmad Zahid mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan 47 pertuduhan yang dihadapinya.
Pihak pembelaan memohon penangguhan terhadap 16 tarikh perbicaraan yang sudah dijadualkan sebelum ini bagi menunggu maklum balas daripada Peguam Negara terhadap representasi kes tersebut.
Tindakan itu sekaligus menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak, termasuk Sharulufti, yang tidak sabar menunggu keputusan daripada Peguam Negara itu.