BANGI, Khamis – Isu unsur nadir bumi (REE) semakin kuat diheret oleh kedua-dua pihak sama ada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mahupun Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tatkala kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 memasuki hari keenam.
Tidak sampai 12 jam Muhammad Sanusi mendakwa beliau mempunyai bom atom mengenai isu REE, Saifuddin Nasution pula berkata, pihaknya juga mempunyai peluru besar terhadap isu berkenaan.
“Tak ada masalah, dia (Muhammad Sanusi) jangan fikir dia sahaja ada, saya pun ada.
“Dia pun tahu apa yang saya ada, siapa nak lepas (peluru) dulu, saya tiada masalah. Cuma beza saya dengan dia, dia maki, saya tidak,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang media di bilik gerakan utama (BGU) DUN Jitra, pada Khamis bagi mengulas kenyataan balas Muhammad Sanusi baru-baru ini.

Saifuddin berkunjung ke Jitra bagi memberi sokongan kepada calon DUN Jitra, Datin Sabrina Ahmad mewakili Pakatan Harapan dan Zainol Abidin yang mewakili Barisan Nasional di DUN Bukit Kayu Hitam.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mengajak Saifuddin Nasution menghentikan perdebatan mengenai isu REE yang dilihat menjadi modal kempen pada pilihan raya kali ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau membuat tawaran itu kerana mendakwa memiliki satu lagi maklumat penting berkaitan isu tersebut yang mungkin akan mengejutkan pihak lawan khususnya Saifuddin Nasution dan Pakatan Harapan (PH) yang bersama Barisan Nasional (BN).
Saifuddin Nasution berkata, untuk menghentikan pendedahan mengenai REE di Kedah bukan satu pilihan buat masa ini.

Makmal memproses unsur nadir bumi REE haram di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, Kedah. – Foto NSTP
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, pendedahan Muhammad Sanusi mengenai Riza Chalid amat berbeza dengan pendedahan beliau sebelum ini.
Jelasnya, Muhammad Sanusi cuba mengetengahkan motif pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan warga Indonesia, Riza Chalid yang mendakwa ada memohon untuk mengusahakan REE di Kedah.
“Berbeza pendedahan saya, apa yang saya tunjuk ialah surat dan gambar.
“Semua bukti itu boleh banding dengan apa yang Sanusi sebut, ‘the honest is on him’ sebab dia yang keluarkan kenyataan itu, tunjuk lah,” katanya.
Muhammad Sanusi menafikan dakwaan beliau membawa masuk So Loi Fat ke negara ini yang dikaitkan dengan kes kecurian REE di Bukit Enggang, Sik.
Beliau sebaliknya mendakwa warga China berkenaan berada di negara ini sebelum dia dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada tahun 2020.
Menurutnya,Saifuddin Nasution juga dinasihatkan menyemak kembali maklumat yang diterima berkaitan isu terbabit.

Muhammad Sanusi mengakui pernah bertemu seorang warga China yang kini diburu berhubung kecurian unsur nadir bumi di negeri itu.
Muhammad Sanusi bagaimanapun mengakui mengenali Loi Fat sebagai ‘Mr So’ dan pernah berkomunikasi dengannya menggunakan penterjemah kerana tidak fasih berbahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Tambah Muhammad Sanusi, apabila dilantik menjadi Menteri Besar, beliau kemudiannya menyuruh Loi Fat meneruskan projek berkenaan tetapi perlu mengikut lunas undang-undang.
Saifuddin Nasution sebelum itu mendedahkan gambar Sanusi bersama Loi Fat yang didakwa seorang daripada dua pekerja dibawa masuk oleh MBI untuk melakukan kerja-kerja eksplorasi REE di hutan simpan Bukit Enggang, Sik.