BANGI, Khamis – Tiada istilah kecewa.
Itu yang diungkapkan oleh calon Dewan Undangan Negeri (DUN), Ampangan, Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek apabila namanya tidak disenaraikan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15 kali ini.
Malah katanya, ia menjadi asam garam dalam dunia politik kerana apa yang paling penting adalah perjuangan.
“Sebagai seorang pemimpin, tiada istilah kekecewaan dan mungkin juga itu satu asam garam koseronokkan dalam perjuangan. Apa yang berlaku mungkin telah berlaku pada orang lain dan masa akan datang.
“Tetapi yang paling penting kita memastikan bahawa perjuangan tetap diperjuangkan. Bagi saya ini yang paling penting sekali,” beliau berkata demikian ketika ditemui dalam satu temu bual eksklusif bersama TV Pertiwi di Bangi, Selangor hari ini.
Tambahnya, dengan bertanding sebagai calon bebas, beliau juga tidak lihat mana-mana ancaman dalam pilihan raya kali ini meskipun akan bersaing tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional (PN), Muhammad Ghazali Zainal Abidin dan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH).
Rafie juga bertekad untuk meneruskan agenda beliau dalam memaju dan melestarikan Ampangan sebagai satu usaha memastikan DUN itu maju ke hadapan.
Menurutnya lagi, beliau yang juga penyandang kerusi DUN Ampangan sebelum ini juga menafikan sekiranya dikatakan sebagai pemecah undi PH kerana beliau telah melaksanakan tugas dengan baik.
Ia berikutan namanya tidak disenaraikan sebagai calon PKR susulan arahan daripada Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
“Saya lihat masanya sekarang, pertama saya memang berada di Ampangan. Kedua-dua lawan saya tidak berada di Ampangan. Mereka tinggal di luar bukan di Negeri Sembilan.
“Kedua, saya telah pun melakukan amanah yang diberikan kepada saya dengan baik selaku ADUN sebelum ini dan masyarakat boleh menilai. Jadi, tidak wujud masalah perpecahan.
“Yang wujud ialah penolakkan masyarakat terhadap yang lain. Insyallah akan menyokong saya untuk menuruskan perkhidmatan saya di Ampangan,” katanya lagi.
Justeru, pada pilihan raya kali ini, beliau berhasrat agar pilihan raya kali ini akan membawa kepada penyelesaian isu rakyat dan ekonomi kerana rakyat sudah muak dengan pertelagahan antara parti-parti politik.
Pada 25 Julai lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengarahkan supaya beliau tidak bertanding dan meminta menyokong calon pilihan mereka.