BANGI, Jumaat – Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu memberi impak kepada UMNO sekiranya berjaya memenangi pilihan raya di enam negeri, meskipun digembar-gemburkan tidak boleh memberi sebarang kesan kepada Kerajaan Persekutuan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin berkata, kepimpinan UMNO akan mendesak presiden mereka, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan sekiranya PN berjaya meraih kemenangan pada 12 Ogos ini.
“Walaupun pilihan raya di enam negeri ini PN menang dan Kerajaan Pusat tidak tergugat sekalipun, tapi ia ada satu impak yang besar kepada kerajaan sebenarnya.
“Bahkan melibatkan kepimpinan UMNO itu sendiri. Jika semua negeri itu PN menang dan UMNO kalah sudah tentulah pemimpin-pemimpin UMNO akan mendesak presiden meletak jawatan,” katanya.
Sementara itu, Zool yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban mendakwa, rata-rata ahli UMNO kecewa apabila Ahmad Zahid bekerjasama dengan DAP.
“Sekarang ini apa yang saya nampak hasil kita jumpa orang ramai di kawasan saya sendiri, Lenggeng, rata-rata walaupun mereka ini masih dalam UMNO tapi semua sudah kecewa.
“Mereka juga tidak sabar menunggu PRN kerana nak ubah kerajaan Negeri Sembilan ini,” dakwanya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari pengundian bagi pilihan raya diadakan serentak membabitkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan serta Terengganu.