BANGI, Jumaat – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memfailkan saman terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung ucapan Menteri Besar Kedah itu pada Jelajah Mega Perikatan Nasional (PN) BEST di Dataran Darul Aman di Jitra, Kedah.
Menerusi kenyataan tersebut, Amirudin menafikan dakwaan Muhammad Sanusi bahawa beliau terlibat “skandal’ dengan Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang.
“Ucapan beliau tersebut jelas adalah fitnah, dan merupakan percubaan oleh seorang yang amat terdesak dan ingin pengalihan persepsi daripada segala dakwaan skandal REE yang terpalit ke atas beliau, yang masih gagal dijawab secara berfakta sehingga kini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, fitnah yang dilemparkan Muhammad Sanusi itu hanya semata-mata untuk menyelamatkan diri sendiri dan mengalihkan perhatian orang ramai daripada dakwaan skandal REE yang membabitkan diri beliau.
Dalam ceramah PN Best di Jitra semalam, Muhammad Sanusi mendedahkan skandal yang berlaku melibatkan Menteri Besar Selangor bersama Vincent Tan.
Menurut beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, ahli perniagaan tersebut mahu mengadakan projek sungai bernilai RM10 bilion dengan mendapatkan tanah seluas 600 ekar di negeri itu dan menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor rugi sekitar RM180 juta.
“Sungai Klang dia punya pasal. Itu cokia punya MB, dia bela tauke. Saya tak cokia, saya nak bela rakyat Kedah. Boleh tak boleh hang nak bela tauke, hang punya pasal. Dia kata dia nak mai Kedah nak ajar saya macam mana nak bangunkan negeri Kedah.
“Saya nak habaq, kata kalau nak ajar aku bangunkan negeri aku, pakat dengan tauke, tak payah mai, hang mai takat Pulau Pinang sudah. Bangsa cokia. Kita nak, kita ceramah. Lawan sama-sama MB, dia pi report polis pengecut. Tangkap kita pukul 3 pagi,” ujarnya.
Terdahulu, Amirudin menjelaskan pihaknya telah memperincikan secara panjang lebar projek pembersihan sungai itu pada sidang Dewan Negeri (DNS) tahun lalu dan awal tahun ini serta pada sidang Parlimen 1 Mac lepas.