BANGI, Jumaat – Satu pulau pun kita tak nak.
Justeru, Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan akan membatalkan rancangan Projek Tambak Laut Pulau Pinang Selatan (PSI) sekiranya diberikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini.
Pengerusi PN Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Cai berkata, pihaknya sejak dahulu konsisten membantah projek tambak laut itu meskipun skop projek berkenaan kini sudah dikecilkan kepada hanya satu pulau.
“Jika mandat diberikan kepada PN dalam PRN ini, kita memang akan terus bantah projek tambak laut ini, satu pulau pun kita tak nak,” katanya.
Lapor media tempatan, pada Jumaat, Dominic Lau yang juga calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas turut menyertai sidang akhbar oleh Jawatankuasa Tolak Tambak bersama pemimpin persatuan nelayan di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar.
“Kita bukan mahu menghalang pembangunan tetapi pembangunan yang dibawa oleh DAP di Pulau Pinang ketika ini adalah hanya membina kondominium dan rumah mewah yang tidak mampu dibeli oleh anak-anak Pulau Pinang,” katanya.
Mengulas lanjut, Dominic Lau yang juga Presiden GERAKAN menegaskan, bantahan PN terhadap projek PSI juga selari dengan tuntutan nelayan negeri itu yang mana kawasan tersebut merupakan lokasi strategik bagi sektor perikanan dan pelancongan.

Dominic Lau (hujung kanan) bersama persatuan nelayan di Teluk Kumbar dalam satu sidang media berkenaan Projek Tambak Laut Pulau Pinang Selatan.
Pada Mei, Kerajaan Negeri mengumumkan rancangan projek PSI dikurangkan daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar tambakan laut kepada hanya 930 hektar.
Rancangan projek itu kini hanya melibatkan pembinaan Pulau A atau ‘Silicon Island’ yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan.
Bagaimanapun, projek PSI itu terus mendapat bantahan majoriti golongan nelayan negeri ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar yang mendesak ia dibatalkan sepenuhnya, bukannya hanya dikurangkan kepada satu pulau.
Sementara itu, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) turut memasukkan pembangunan projek `Silicon Island’ dalam 16 tunjang manifesto mereka bagi PRN kali ini dengan sasaran menjana RM7 bilion kepada ekonomi tempatan pada tempoh pembinaan.

Antara manifesto PH-BN Pulau Pinang yang membawa 16 tema utama pada PRN kali ini.