BANGI, Jumaat – Polis membuka kertas siasatan berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah kempen politik pada Ahad lalu yang didakwa menyentuh mengenai isu kalimah Allah.
Jurucakap Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner W Puspanathan berkata, kes itu sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.
“Pengadu berasakan kenyataan tersebut telah menyentuh isu 3R (agama, bangsa, raja) dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri.
“Kes ini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman di bawah Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya dalam sidang media di Georgetown hari ini.
Difahamkan ucapan Muhyiddin itu dibuat di satu ceramah di Kapar seperti dilaporkan media tetapi aduan polis dibuat di Pulau Pinang.
Puspanathan berkata, secara keseluruhan pihaknya menerima lapan laporan berkaitan proses kempen pilihan raya dengan enam daripadanya membabitkan kesalahan merosakkan bendera dan kain rentang parti.
Beliau berkata, satu lagi kes adalah berkaitan fitnah calon Bebas menerusi platform TikTok dan disiasat di bawah Seksyen 233 AKM 1998 iaitu membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
“Setakat ini belum ada tangkapan dan bagi enam kes khianat merosakkan bendera dan kain rentang itu empat daripadanya dilapor berlaku di Seberang Perai Tengah dan masing-masing satu di Seberang Perai Utara dan Barat Daya,” katanya.
Puspanathan berkata, bagi tempoh 29 Julai sehingga semalam, pihak berkuasa melalui Ketua-Ketua Polis Daerah telah meluluskan 518 permit ceramah tanpa ada permohonan yang ditolak.
Diminta mengulas mengenai beberapa calon terutamanya Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa berasa sedikit terganggu kerana perjalanan kempen mereka ‘diekori’, polis berkata, setakat ini polis tidak menerima aduan secara rasmi berhubung dakwaan itu. – BERITA HARIAN