BANGI, Jumaat – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) dalam satu kenyataan memaklumkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri bersetuju dengan pihaknya berhubung keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan demi menyelamatkan undang-undang syariah negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Islam), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
PEMBELA mengambil beberapa petikan dan lontaran yang dikeluarkan oleh Dr. Zulkifli yang turut menyatakan, kes Iki Putra akan memberi kesan domino iaitu boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah di peringkat negeri.
“Kes Iki Putra ibarat domino yang boleh menjatuhkan satu persatu undang-undang syariah di peringkat negeri.”
Jelas Dr Zulkifli, kes yang berlaku di Kelantan pada tahun lalu itu bakal mencabar 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Kelantan.
Dengan nada yang tegas, beliau berkata, kini sudah tiba masanya kerajaan memandang serius untuk memperkasa dan memartabatkan undang-undang syariah.
“Saya dengan tegas mengatakan sudah sampai masanya mana-mana kerajaan yang memerintah Malaysia dan mentadbir, hendaklah memandang serius dalam memperkasa dan memartabatkan undang-undang syariah, yang seolah-olah boleh disepak terajang dan dinyahkan walaupun hanya dengan mahkamah majistret mahupun mahkamah rendah sivil.”
Ini kerana, undang-undang syariah seolah-olah ‘disepak terajang’ malah dipandang remeh walaupun hanya dengan mahkamah majistret atau mahkamah rendah sivil.
Menurut beliau, hanya ada satu jalan untuk menyelamatkan undang-undang syariah adalah menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Sepertimana yang disarankan 200 peguam yang menandatangani petisyen bagi mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan susulan kes Iki Putra Mubarak.
Sebelum ini, seramai 200 peguambela, peguamcara serta peguam Syarie menyuarakan kebimbangan yang serius terhadap implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan kes Iki Putra dan Kerajaan Negeri Selangor terhadap bidang kuasa negeri menggubal undang-undang jenayah Islam.