BANGI, Sabtu – Jika sebelum ini veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, sering mempersoal dan membangkang UMNO yang dikatakannya sentiasa terpalit rasuah.
Tapi kali ini, pihak DAP serta Kit Siang terus membisu dengan gejala rasuah UMNO sebaliknya menyasarkan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai rasuah dan tidak pandai mentadbir negara.
Malah tuduhan lebih berat mendakwa PN menang besar pada Pilihan raya negeri pada 12 Ogos bakal mencetuskan penghijrahan besar-besaran ke luar negara.
“PAS dan Bersatu dalam PN tidak mempunyai apa-apa rancangan untuk membangkitkan semula Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya, hanya ada dasar yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan korup,” katanya.
Tidak cukup dengan itu, Kit Siang juga berkata, Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal seperti Nigeria dan Sri Lanka jika negara ditadbir PN.
Sebaliknya puji melangit bahawa kemenangan Pakatan Harapan nanti akan menjadikan Malaysia seperti Singapura dan Korea Selatan.
Veteran DAP itu juga dilihat seolah-olah cenderung ke arah konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkannya dengan menjadikan Singapura sebagai contoh negara maju dan digeruni ramai.
Beliau mendakwa, parti seperti PAS dan PN tiada sebarang rancangan untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya menyebabkan negara yang berpecah belah, gagal, dan korup.
Dakwaan yang pernah dihambur oleh parti ini sebelum kerjasama terjalin juga seolah terus tidak terkata dan seperti UMNO tidak pernah terpalit rasuah sebelum ini ketika sekian lama menjadi musuh tradisi DAP .
“Perikatan Nasional yang dibentuk PAS dan Bersatu akan membawa Malaysia ke arah menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka dan Nigeria, berbanding dengan PH–BN yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia seperti Korea Selatan dan Singapura dengan perpaduan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan,” katanya.
Kit Siang menambah, pihaknya mahu Malaysia bangkit menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia seperti Korea Selatan dan Singapura dan bukannya menjadi kisah tauladan untuk dielakkan negara-negara lain.
Kit Siang berkata demikian ketika memberi ceramah sokongan kepada calon Pakatan Harapan DUN Balakong, Ong Chun Wei, di Balakong pada jam 8 pagi semalam.
Momokan anti PAS tiada kemajuan terus juga diberikan oleh pemimpin parti DAP lain.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa pengundi supaya tidak terpedaya dengan pemimpin PN yang berjanji akan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan di Kedah jika mereka dibenarkan mentadbir untuk 30 tahun akan datang.
Tambahnya, PAS sudah mentadbir negeri Kelantan selama lebih 30 tahun namun tiada sebarang peluang pekerjaan dicipta dan ramai masyarakat dari negeri itu berhijrah ke negeri lain.