BANGI, Sabtu – Kelayakan masuk penjawat awam di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) melalui Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu perlu dimansuhkan bagi mengelakkan graduan yang memohon, dibayar gaji rendah.
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata kelayakan masuk di peringkat PMR disifatkan sudah tidak lagi relevan, apatah lagi kebanyakan tahap pendidikan pelajar kini semakin meningkat.
“Gaji permulaan minimum bagi sektor perkhidmatan awam ialah RM1,200 kerana masih ada lagi kelayakan masuk di peringkat PMR.
“Walaupun pemohon mempunyai tahap pendidikan tinggi termasuk diploma dan ijazah sarjana muda, demi mendapatkan kerja, mereka terpaksa memohon jawatan peringkat lebih rendah.
“Ada yang ‘sembunyi’ ijazah bagi nak dapatkan jawatan di peringkat lebih rendah, menyebabkan gaji dibayar tidak setimpal,” katanya kepada BH, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bimbang melihat kecenderungan gaji permulaan untuk lepasan ijazah di negara ini tidak jauh beza dengan paras gaji minimum pekerja tidak mahir, iaitu RM1,500 sebulan.
Rafizi dilaporkan menegaskan, apabila ada paras minimum terbabit, sepatutnya gaji permulaan untuk lepasan ijazah naik lebih tinggi untuk menjarakkan daripada kedudukan itu.
Pada masa sama, Adnan berkata, gaji minimum RM1,200 selalunya dibayar bagi jawatan pembantu awam, pembantu pejabat, pembantu tadbir dan pembantu kewangan.
“Ia menyebabkan mereka dieksploitasi apabila dibayar rendah tetapi dikerah kepakaran di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, pelaksanaan gaji progresif yang dirancang kerajaan kini, dijangka mampu mengatasi masalah gaji graduan dibayar rendah, iaitu tidak jauh beza dengan paras gaji minimum pekerja tidak mahir, sebanyak RM1,500 sebulan.
Beliau berkata, pada peringkat permulaan, gaji progresif itu mungkin boleh dilaksanakan secara bersasar dengan memfokuskan kepada golongan graduan yang paling terkesan.
“Kita memahami bahawa gaji progresif tidak boleh dilaksanakan semudah itu, ia memerlukan rangka kerja yang panjang untuk meletakkan Malaysia ke arah negara maju.
“Namun ia boleh dilaksanakan secara bersasar terlebih dahulu membabitkan industri kritikal bagi mengelakkan kita kehilangan tenaga pakar apabila graduan ini bertindak berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan gaji lebih baik,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Effendy berkata, negara boleh mengalami kerugian jika lebih banyak graduan bertindak berhijrah memulakan kerjaya di luar, disebabkan pembayaran gaji yang dianggap tidak setimpal di negara sendiri. – Berita Harian