BANGI, Sabtu – PAS Pulau Pinang tidak dapat membantu Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dalam kempennya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas kerana didakwa tidak cukup ahli.
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, kekurangan sumber itu menyebabkan parti tidak dapat membantu calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa PAS tidak memboikot kempen pilihan raya Dominic dalam apa cara sekalipun.
“Sekarang ini setiap calon perlu membawa jentera masing-masing. Dominic kena bawa orang sendiri juga. Kami tidak mempunyai cukup (ahli untuk membantu kempen).
“Malah, jentera pilihan raya kita di kawasan tertentu juga memerlukan bantuan. Mereka yang bertanding perlu mengetuai jentera mereka sendiri,” katanya.
Muhammad Fauzi berkata, PAS Pulau Pinang akan menjelaskan perkara itu dan mengeratkan hubungan dengan Gerakan, termasuk menjelaskan isu pencalonan Dominic di Bayan Lepas kepada akar umbi.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa akar umbi PAS mengancam untuk memboikot pilihan raya selepas Dominic dinamakan sebagai calon yang bertanding di kerusi DUN Bayan Lepas yang majoritinya Melayu.
Pemimpin PAS tempatan berkata, parti itu telah melakukan kerja asas di sana selama bertahun-tahun dan tidak akan menerima Dominic, yang mereka dakwa sebagai calon ‘payung terjun’.
Dominic bakal bertanding di kerusi Bayan Lepas di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) menentang penyandang DUN itu, Azrul Mahathir Aziz daripada Pakatan Harapan (PH).