BANGI, Ahad – Ketua Wanita BERJASA, Dr Fadhilah Ashari menggesa kerajaan berganding bahu untuk mempertahankan Undang-Undang Jenayah Syariah negeri berhubung kes Iki Putra yang mencabar keabsahan enakmen mahkamah tersebut.
Menurut Fadhilah, Malaysia merupakan negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan raja sebagai pemimpin agama.
Sekiranya Undang-Undang Syariah tidak dipelihara, ia menandakan Perlembagaan Persekutuan tidak dituruti sepenuhnya.
“Kalau kita nilai kes Iki Putra yang dijadikan precedent dan kes untuk mencabar keabsahan Undang-Undang Syariah Negeri, saya mengajak semua pihak berganding bahu dalam memperkasa, memelihara serta mempertahankan undang-undang Syariah di Malaysia ini.
“Sebab Malaysia ini sebagai sebuah negara berperlembagaan dan meletakkan Islam serta sebagai agama negara dan kedudukan raja-raja sebagai pemimpin pada agama. Tidak mungkinlah tak dapat kita pertahan kedudukan negara begini dalam perlembagaan.
“Melainkan ada kuasa undang-undang yang melindungi Islam serta pelaksanaan Islam itu sendiri kat Malaysia. Maksudnya kalau lah kita tidak pelihara, kita tidak kekalkan kuasa dan kedudukan Mahkamah Syariah untuk memelihara segala undang-undang yang berkaitan, apakah erti perlembagaan itu sendiri?” beliau berkata demikian kepada TV Pertiwi bagi mengulas berkenaan kes Iki Putra yang didakwa melakukan kesalahan liwat semalam.
Tambah Fadhilah lagi, negara memerlukan satu gerak kerja oleh badan perundangan Syariah yang disusuli tekanan oleh kerajaan bagi menyelamatkan keadaan tersebut yang memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal serta membicarakan kes jenayah liwat.
Oleh itu, kes beliau akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pada 17 Ogos ini bagi mencabar kesahihan enakmen jenayah Syariah.
Mengulas lanjut, Fadhilah melihat kes tersebut sebagai satu perancangan halus yang mahu menjatuhkan institusi Mahkamah Syariah.
“Jadi, adakah kes Iki Putra ini satu perancangan halus yang diatur untuk menjadi gerak mula kepada arus domino bagi menjatuhkan keseluruhan institusi Mahkamah Syariah? Mungkin kita kena sama-sama fikirkan.
“Kerana jika kita lihat dari segi hukuman jenayah Syariah, di tahap Mahkamah Syariah negeri, hukumannya boleh jadi lagi ringan dibandingkan bila dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.
“Jadi, kenapa perlu kita jadi absolit maksudnya tak relevan undang-undang Mahkamah Syariah negeri? Maka, memang ada agenda di belakangnya,” jelas Fadhilah.
Berikutan itu, beliau turut menggesa agar pemimpin kerajaan menunjukkan kejujuran serta komitmen dalam memperjuangkan agama Islam dan menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam pelaksanaan Undang-Undang Syariah Malaysia.