BANGI, Ahad – Barisan Nasional tidak mahu meletakkan keyakinan yang tinggi untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Gombak Setia pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15, 12 Ogos ini.
Calon DUN Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, soal kemenangan biarlah Allah yang tentukan kerana masih terlalu awal untuk menjangka perkara tersebut.
“Masih terlalu awal (jangkaan menang) saya tidak suka mendahului. Biarlah itu kejutan Allah tapi keyakinan saya amat tinggi, semangat jentera kedua-dua pihak sama ada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bekerja bersungguh-sungguh dan keyakinan itu kena ada .
“Saya ada keyakinan yang besar tinggal lagi tidak mahu terlalu yakin kerana takut nanti kita rasakan terlalu selesa dalam politik ni,” kataya demikian ketika ditemui TV Pertiwi selepas Program Bubur Asyura di Fasa 3, Taman Seri Gombak, Selangor semalam.
Menurut Megat Zulkarnain, walaupun beliau dapat merasakan terdapat aura negatif daripada para pengundi setelah beberapa kali bertanding sebelum ini, ia berbeza pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut memikirkan masa depan Pakatan Harapan (PH) hasil kerjasama yang dibina dengan BN ini kerana situasi itu pasti akan berlaku ‘perebutan’ undian.
Katanya, pengundi-pengundi PH pasti akan mengundi calon PH tetapi beliau tidak yakin dengan sokongan pengundi BN.
Begitu juga sebaliknya, pengundi-pengundi BN pasti akan mengundi calon BN tetapi sokongan pengundi PH ke atas calon BN masih belum diketahui.
“Sebab kali ini, persaingan menjadi lebih adil dengan satu-lawan satu. Bila-bila yang menjadi satu-lawan satu, maknanya kesemua baik pengundi BN dan pengundi PH, masing -masing akan direbut. Contohnya macam di sini.
“Jadi di sini pengundi BN pasti akan mengundi BN. Tapi pengundi PH macam mana hala tujunya? Kalau di Hulu Kelang, ada pengundi BN. Pengundi BN bagaimana hala tujunya? Jadi saya percaya dengan disiplin yang ada pada BN yang telah dibanding.
“Selagi disiplin kepatuhan kepada parti itu menjadi teras penting dengan jentera seperti wanita yang agak ampuh dalam menjalankan tugas,” kata Amirudin.
Amirudin yang juga calon DUN Sungai Tua bakal berdepan persaingan tiga penjuru dengan Hanif Jamaluddin dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Suman Gopal.