BANGI, Ahad – Kritikan DAP terhadap manifesto Perikatan Nasional (PH) berkaitan dengan peluang pekerjaan di Kedah hanya akan memberi kesan kepada pentaksub-pentaksub Pakatan Harapan.
Setiausaha Pemuda PAS yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, Hanif Jamaluddin berkata, beliau yakin rakyat akan menilai berdasarkan komitmen dan tawaran yang diberikan PN mengikut apa yang telah dijanjikan.
“Rakyat akan menilai manakah di antara kedua-duanya yang sangat memberikan manfaat kepada mereka dan kritikan tersebut apabila rakyat melihat dan mereka tahu apa yang mereka dapat, mereka akan abaikan yang dikritik oleh DAP itu.
“Saya sangat yakin krikitan DAP tidak beri kesan kecuali kepada mereka yang taksub kepada DAP, PH dan PN. Ini bukan 100 peratus.
“Daripada 100 peratus mungkin 20 peratus pentaksub PH dan 20 peratus adalah PN. Kita ada baki lagi 60 peratus rakyat ini akan menilai berdasarkan komitmen kita berdasarkan apa yang kita tawarkan dan apa yang pernah kita janji serta pembuktian yang pernah dibuktikan,” jelas Hanif ketika ditemui TV Pertiwi selepas berkempen di Taman Nakhoda, Batu Cave, Gombak Selangor petang semalam.
Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menggesa pengundi supaya tidak terpedaya dengan PN yang berjanji bakal mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan di Kedah jika mereka dibenarkan mentadbir untuk 30 tahun akan datang.
Beliau mengkritik PAS dengan menyatakan, parti itu tidak mencipta sebarang peluang pekerjaan di Kedah meskipun sudah lebih 30 tahun mentadbir Kelantan.
Malah, beliau juga mendakwa orang Kelantan akan meninggalkan negeri itu dan pergi ke Pulau Pinang, Perlis, Kuala Lumpur, Thailand serta Singapura.
Sementara itu, Hanif berkata, beliau menerima sokongan yang baik daripada pengundi di sekitar kawasan berkempen meskipun Sungai Tua merupakan kubu kuat PH.
“Jadi, stakat ini kempen berjalan dengan lancar, alhamdulillah. Tempat -tempat yang dikhabarkan sebelum ini tidak boleh diakses oleh PAS ataupun PN tetapi kali ini alhamdulillah bukan sekadar boleh akses tetapi mereka sendiri menjemput kita untuk bertemu dengan mereka mendengar luahan, aduan dan beberapa cadangan. Setakat ini alhamdulillah berjalan dengan lancar,” kata Hanif lagi.
Meskipun bakal berdepan dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Hanif juga tidak gentar dan akan melakukan sehabis baik untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, 12 Ogos ini..