PUTRAJAYA, Isnin – Modul Pendidikan Seksualiti dan Kesihatan Reproduktif (ReproAlert) kedua yang dilancarkan pada Sabtu lalu bukan sahaja memberi penumpuan terhadap hubungan intim semata-mata tetapi merangkumi aspek rohani, psikologi, kognitif, emosi, sosial, fizikal dan biologi.
Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Profesor Dr Azizi Ayob berkata, modul itu mengambil masa selama lebih dua tahun untuk disiapkan serta mempunyai 14 topik berkait rapat dengan situasi dan sosiobudaya Malaysia.
Tambah Azizi, pihaknya menggabungkan kepakaran individu daripada bidang yang berbeza seperti pakar pediatrik, pakar obstetrik dan ginekologi (O&G) dan ilmuwan agama untuk membangunkan modul pendidikan seksual yang mudah difahami.
“Saya nyatakan awal tadi, memakan masa hampir 30 bulan, dan dibangunkan oleh 12 pakar daripada bidang yang berbeza-beza iaitu terutama daripada pakar pediatrik, dan juga pakar O&G, dan juga kita ada bahagian agama juga, asatizah atau ustaz yang berkaitan dengan syariah, yang memberi input untuk kita memastikan bahawa modul ini agar komprehensif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Modul ReproAlert di The Everly Putrajaya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, kebanyakkan NGO berasaskan pendidikan seksualiti menggunakan silibus daripada negara Barat.
Jelas beliau, negara Barat menekankan hubungan seksual tanpa perkahwinan itu adalah sesuatu perkara yang boleh diterima
Menurutnya, perkara itu menimbulkan masalah kerana skop kesihatan reproduktif hanya terbatas kepada beberapa aspek seperti kadar kehamilan yang selamat, sedangkan perkara itu bercanggah dengan falsafah kekeluargaan yang diamalkan dalam kalangan masyarakat di dalam negara.
“Sebenarnya banyak NGO-NGO berasaskan pendidikan seksualiti dan reproduktif. Tetapi kita menghadapi masalah kerana beberapa NGO reproduktif ini menggunakan rangka ataupun framework daripada barat.
“Jadi bila kesihatan reproduktif ditafsirkan hanya dengan ‘safe pregnancy’, tentang ‘abortion’, dan ‘safe sex’. Ia merisaukan kita kerana banyak sudah lari daripada falsafah kekeluargaan,” katanya.
Pada bulan Oktober tahun lalu, WAFIQ dengan kerjasama I-Medik melancarkan Modul Bantuan Asas HealHer untuk memberi pengetahuan tambahan tentang kesihatan mental wanita.
Modul pertama gabungan dua NGO itu digubal oleh enam ahli pakar untuk menangani isu kesihatan mental wanita khususnya selepas pandemik Covid-19.