BANGI, Isnin – Bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Persekutuan perlu disemak semula untuk memastikan tiada pertindihan kuasa antara kedua-dua kehakiman ini.
Peguam, Mazwan Johar berkata, meskipun undang-undang sivil di bawah kendalian Mahkamah Persekutuan dan undang-undang Syariah di bawah kuasa Mahkamah Syariah, masih terdapat kelompongan disebabkan oleh pertindihan kes yang melibatkan kedua-dua kehakiman.
“Kalau kita lihat kita telah melalui satu pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan dan selepas pindaan kita ada dua fungsi dimana mahkamah persekutuan mengendalikan undang-undang sivil dan mahkamah syariah mengendalikan undang-undang syariah.
“Tetapi masih ada ruang yang mana bidang kuasa itu ada pertindihan iaitu kesalahan yang sama tetapi dalam undang-undang sivil ada, undang-undang syariah pun ada,” ujarnya.
Tambah Mazwan, kajian semula perlu dilakukan terhadap pindaan Perlembagaan Persekutuan tentang bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjelaskan tentang pemisahan kuasa bagi mengelakkan pertembungan kes.
“Dalam pertikaian yang berlaku ketika ini saya percaya kita terpaksa untuk kaji semula lihat semula, pindaan yang kita buat dulu perlu tengok semula semak semula supaya lebih jelas dia punya pemisahan itu sekarang tak begitu jelas sehingga kita ada pertikaian dari semasa ke semasa,” katanya.
Mazwan yang juga merupakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal berkata demikian ketika ditemui TV Pertiwi hari ini.
Gesaan semakan semula itu dilakukan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes Iki Putra Mubarak pada tahun 2021 yang dikhuatiri akan menyebabkan bidang jenayah Syariah terus dicabar.
Sebelum ini, Iki Putra didakwa di Mahkamah Syariah pada 21 Ogos 2019 atas kesalahan meliwat yang dilakukannya di Bangi, Selangor.
Namun, disebabkan tidak berpuas hati dengan pertuduhan itu, Iki Putra mencabar peruntukan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dengan mendakwa negeri atau Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal dan membicarakan kes jenayah liwat.