KUALA LUMPUR, Isnin – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bertekad mencari jalan penyelesaian buat ribuan mangsa penipuan pelaburan saham kerana tiada sebarang tindakan diambil terhadap syarikat-syarikat pelaburan itu sejak laporan polis dibuat pada Mac lalu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kes penipuan pelaburan saham itu diklasifikasikan sebagai ‘no further action’ (NFA) dan akan membawa kes tersebut ke muka pengadilan.
Hishamuddin berkata, setelah laporan polis dibuat, aduan turut dihantar ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau menegaskan bahawa nasib mangsa-mangsa yang mengalami kerugian masih belum terbela walaupun siasatan sudah dilakukan.
“Kita NGO, kita tiada kuasa untuk menyiasat. Kita tiada kuasa untuk buat tangkapan, kita tiada kuasa untuk mendakwa, yang ada hanya agensi siasatan. Kita bergantung, berharap, merayu kepada agensi siasatan, tolong lakukan sesuatu.
“Jangan dibiarkan kes ini begitu saja, jangan dengan mudah bercakap ‘kami tiada kuasa’. Kalau semua cakap tiada kuasa, siapa yang ada kuasa sebenarnya di sini ? Ini yang kami nak tanya.
“Takkan NGO pula yang ada kuasa, jadi kita ini NGO tiada penguatkuasaan, jadi kalau kita tak cakap macam ini, kita nak cakap macam mana?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, mangsa didakwa tidak lagi menerima bayaran dividen dan terdapat syarikat-syarikat berkenaan menebus semula saham tanpa membuat sebarang pembayaran kepada pelabur.
Salah seorang mangsa pelaburan, Fazlifah Awang, 48 tahun, menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap syarikat berkenaan.
Fazlifah berkata, dia sudah buntu mencari jalan penyelesaian untuk mendapatkan keadilan bagi kes penipuan itu.
“Saya melabur RM150,000, kawan-kawan saya yang lain, lebih daripada itu. Tapi kami sekarang ini jalan buntu. Bagi saya, hari ini adalah satu tindakan yang ‘supreme’ datang ke sini untuk membawa mesej dengan jelas kepada pihak polis supaya memberi perhatian kepada kes kami,” katanya.
Pada 11 Mac lalu, media melaporkan hampir 3,000 mangsa didakwa terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan yang membabitkan kerugian lebih RM830 juta.
Antara pelaburan yang ditawarkan adalah Tabung Amanah, saham boleh tebus syariah atau ‘Islamic Redeemable Shares (RPS-i), Nota Jangka Sederhana (MTN) dan Sukuk.